BERDAKWAH pada jalan ALLAH SWT dengan reda dan sabar menghadapi ujian di jalan ini adalah sifat terpuji yang sukar dicapai.
Seorang pendakwah perlu berakhlak terpuji, penampilan yang baik, beretika, dan bersifat mulia sebagai qudwah hasanah kepada masyarakat. Ini kerana akhlak, keperibadian dan penampilan seorang pendakwah itu akan menjadi sandaran serta rujukan kepada umum.

Perkara pokok yang perlu diambil berat oleh seorang pendakwah itu ialah menjaga pergaulan dan perbuatan daripada perkara yang boleh menimbulkan fitnah orang ramai.

GAYA BERDAKWAH
Uslub dakwah bermaksud ilmu perihal cara berdakwah dengan menggunakan pendekatan dakwah dalam menarik golongan yang diseru kepada ajaran Islam. Maka, pendakwah mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar dan mulia dalam membawa identiti dan menyeru ke arah agama. Pendakwah perlu sedar mereka adalah ikon yang akan sering dirujuk oleh masyarakat secara umumnya.

Maka setiap sifat, kelakuan dan amalan harian pendakwah hendaklah mencerminkan ajaran Islam yang membawa kesejahteraan dan ketenteraman umat di dunia dan akhirat. Tingkah-laku mestilah berasaskan tauhid, mengikut syariat Islam. Mereka diibaratkan seperti pantulan kepada kesempurnaan Islam dan ajarannya.

SIFAT PENDAKWAH
Hakikatnya, dakwah itu menawarkan sebuah risalah dan landasan cara berfikir yang diperlihatkan melalui; akhlak, keperibadian dan penampilan. Cara tutur kata dan penampilan pendakwah akan menarik perhatian orang yang mendengar dan melihatnya kerana pada dasarnya jiwa manusia cenderung dan tertarik dengan penampilan yang indah dan baik. Seorang pendakwah yang hidup dalam sebuah masyarakat atau yang menjadi wakil atau jurucakap kepada sebuah persatuan atau jemaah, hendaklah sentiasa berpenampilan baik
dan berakhlak mulia. Penampilan dan akhlak yang baik akan membuatkan masyarakat awam hatta orang yang baharu sahaja berjumpa dan memandang menjadi tertarik dan simpati.

ERTI AKHLAK?
Akhlak dari segi bahasa: Berasal daripada perkataan khulq yang bererti perilaku, perangai atau tabiat. Maksud ini terkandung dalam hadis riwayat Aisyah RA berkaitan akhlak Rasulullah SAW yang bermaksud: "Akhlaknya (Rasulullah) adalah al-Quran." (Riwayat Muslim)

Iaitu akhlak Rasulullah SAW yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah kepercayaan, keyakinan, pegangan, sikap dan tingkah laku Rasulullah SAW yang semuanya adalah pelaksanaan daripada ajaran al-Quran.

Manakala, pengertian akhlak dari segi istilah menurut Imam Al-Ghazali: "Akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih Jika seseorang itu berakhlak mulia maka sifat yang akan lahir daripada dirinya dan perbuatan yang dilakukannya secara spontan pun hanyalah yang baik dan elok sahaja. Begitu jugalah sebaliknya bagi yang berakhlak buruk, semoga kita terselamat daripadanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kebaikan itu ialah akhlak yang baik." (Muttafaq 'Alaih)

Dimaksudkan dengan akhlak di sini, secara umum ialah sistem peraturan atau tingkah laku manusia yang bersumber dan berpandukan kepada asas wahyu atau ajaran syarak. Sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Al-Qalam ayat 4.

Anas bin Malik RAH menyatakan: "Rasulullah adalah manusia yang paling baik budi pekertinya." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Akhlak adalah titik ukur kesempurnaan iman seorang hamba sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya." (Riwayat Tirmizi)
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah yang terbaik akhlaknya." (Muttafaq 'Alaih)

Ulama mengatakan, akhlak mulia secara ringkasnya dapat dirangkumkan dalam 10 perkara berikut, antaranya:-

  • Berlapang dada apabila terdapat perbezaan pendapat. Tidak membesar-besarkannya jika ia hanyalah dalam hal furu' (cabang yang kecil).
  •  Bersikap adil dalam segenap perkara.
  •  Menjauhkan diri dari tempat keramaian atau perkumpulan yang tidak berfaedah.
  •  Memperbaiki apa yang tampak tidak baik.
  •  Tidak sombong dan susah untuk meminta maaf.
  •  Sabar dan tabah menghadapi segala ujian dan kesusahan.
  •  Jika menghadapi kegagalan, tidak menyalahkan orang lain, tetapi terus memeriksa yakni muhasabah diri sendiri.
  •  Mencari-cari kekurangan diri sendiri, bukan kekurangan orang lain.
  •  Murah senyum dan bermuka manis kepada semua orang.
  •  Percakapan (dan penulisan) yang santun kepada semua orang.


Asas kepada akhlak terpuji adalah sabar dan mampu bertahan di atas ujian, tidak membalas kejahatan orang lain dan berlemah lembut kepada orang yang telah berlaku zalim kepadanya. Bahkan, memohonkan keampunan ALLAH untuknya.


Kesimpulannya, pendakwah itu hendaklah mendahulukan contoh perbuatannya daripada ucapannya kerana dakwah melalui perangai atau akhlak yang baik adalah media yang paling berkesan kepada masyarakat yang akan menjadikannya sebagai contoh (idola) untuk diikuti. Perlulah diingati, orang yang pernah menyuruh orang lain berbuat baik sementara dirinya sendiri melanggarnya adalah orang yang bakal menempuh seksaan yang berat pada hari akhirat kelak.

Daripada Usamah bin Zaid RA bahawa dia pernah mendengar Nabi SAW bersabda: "Pada hari kiamat kelak seseorang itu akan dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya dan dia berpusing seperti seekor keldai mengelilingi batu kisaran. Penghuni neraka lainnya pun menghampirinya dan bertanya: "Wahai saudara, mengapakah ini semua terjadi? Bukankah saudara adalah orang yang pernah menyuruh kepada perkara makruf (kebaikan) dan mencegah perkara yang mungkar (kejahatan)?" Maka dia menjawab: "Benar, akulah yang pernah menyuruh kamu berbuat makruf dan melarang kamu berbuat kemungkaran, tetapi aku sendiri yang melanggarnya." (Riwayat Muslim)

Oleh itu, hiasilah diri dengan akhlak yang terpuji, penampilan yang baik, etika pergaulan yang bersopan dan sifat-sifat mulia yang lain supaya tidak tergolong dalam kalangan orang yang hanya bercakap kosong tetapi tidak mengamalkannya. Kita mesti sentiasa ingat, keberkesanan tugas dakwah bergantung kepada diri pendakwah itu sendiri. Terlalu banyak peraturan dan syarat untuk memenuhi kriteria sebagai
seorang pendakwah. Sekiranya dakwah tidak begitu berkesan atau memberi banyak perubahan, ingatlah itu kerana kelemahan dan kesilapan diri, bermuhasabah dan baikilah diri serta penampilan, berdoalah agar ALLAH membantu dan memberkati usaha kita.