“DAHULU saya jahil. Islam hanya pada nama, perkara wajib sebagai seorang Muslim terlalu lama ditinggalkan. Saya rasa hati ini sungguh hitam, namun ALLAH SWT sayangkan saya. Pada saat hidup bergelumang noda dan dosa, Dia anugerahkan hidayah. “

Sungguh hidayah itu datang daripada ALLAH, sebagai manusia yang hidup di atas landasan fitrah, mereka yang ingin kepada perkara baik dan benar, semestinya perlu berusaha mencapainya, ia bertepatan dengan konsep hidayah yang diberi ALLAH. Minggu ini, Rehal mendapatkan pendakwah, Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman bagi mengulas perihal hidayah pada penghujung usia.

“Hidayah adalah anugerah besar dan ia hak ALLAH sematamata (tidak seorang pun dapat memberikannya sekalipun Nabi Muhammad SAW) sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah Al-Qasas ayat 56.

“Orang yang mencapai hidayah ALLAH adalah petanda seseorang itu memahami dan mentadabbur al-Quran,” katanya. 

Hidayah merupakan jalan lurus yang perlu ditempuh oleh mereka yang diberi nikmat ALLAH. Sebagaimana yang dijelaskan dalam fi rman-Nya: “Dengan kitab itulah ALLAH memberikan petunjuk kepada orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan yang selamat, dan (dengan kitab itu juga) ALLAH mengeluarkan mereka daripada gelap-gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya,  dan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Surah Al-Maidah: 16)

UMUR BUKAN PERCUMA

Waktu adalah sesuatu yang penting untuk dimanfaatkan. Setiap jam dan minit yang berlalu itu tidak mungkin akan kembali. Semakin berganti hari, semakin hampirlah kita kepada ajal. Renung sabda Nabi SAW ini:

“Tidak berganjak kaki anak Adam sehingga ditanya tentang empat perkara:

  1. Perihal umurnya untuk apa ia digunakan
  2. Tentang masa mudanya untuk apa ia dihabiskan
  3. Harta dari mana dia dapat dan ke mana dibelanjakan.
  4. Tentang ilmunya, apa yang telah diamalkannya.

(Riwayat Tirmizi daripada Ibnu Mas’ud RA. Lihat As-Sahihah)

“Usah menunda-nunda untuk bertaubat, insaf dan beramal. Kerana kita tidak tahu apakah umur akan panjang atau sebaliknya.

Seandainya ditakdirkan usia mencapai ke hujung usia, apakah ada jaminan, seseorang ituakan sedar, insaf, bertaubat dan beramal soleh? Atau mungkin juga, bertambah kesesatannya? Rasulullah pegang bahu Ibnu Umar seraya bersabda: “Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang dagang atau pengembara”. Maka Ibnu Umar pun berkata: “Apabila engkau berada pada waktu petang janganlah menunggu (untuk beramal) pada waktu pagi.

Dan jika berada pada waktu pagi,  janganlah menunda (beramal) pada waktu petang. Gunakanlah masa  sihatmu untuk masa sakitmu dan kesempatan hidupmu untuk waktu kematianmu.” (Riwayat Bukhari)

Selagi kesempatan masih diberikan, muhasabahlah diri dengan keikhlasan dan keinsafan. Janganlah kita masih berprinsip, akan memperbanyak ibadah atau mendekatkan diri kepada ALLAH setelah tua, pencen atau sudah berhenti kerja.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman, bertakwalah kepada ALLAH dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: 18)

CARI HIDAYAH ALLAH

DATUK Dr Abdul Basit Abd Rahman, dikenali juga sebagai Ustaz Abu Anas Madani ini turut menghuraikan persoalan siapakah manusia terbaik dan terburuk dan orang yang panjang umurnya, tapi buruk amal perbuatannya. Abu Bakrah ada meriwayatkan, bahawa ada seorang bertanya kepada Rasulullah SAW: "Siapakah orang yang paling baik?"

Baginda SAW menjawab: "Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya." Dia bertanya lagi: "Siapakah pula orang yang paling buruk?" Baginda SAW menjawab: "Orang yang panjang umurnya, tapi buruk amal perbuatannya." (Riwayat Tirmizi)

TERBAIK & TERBURUK AMALNYA

"Orang yang paling buruk juga ialah mereka yang tidak dapat disedarkan dengan pesanan-pesanan ALLAH dalam al-Quran. Rasulullah SAW bersabda: "Antara manusia yang terburuk adalah seorang yang derhaka lagi kurang ajar, yang membaca kitab ALLAH namun tidak disedarkan oleh suatu pun daripadanya."  (Riwayat Ahmad)

"Sabda Rasulullah SAW di atas menunjukkan bahawa amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim," jelasnya.

"Manusia terbaik dan manusia terburuk, sebagaimana disebutkan dalam hadis ini, ditentukan berdasarkan kualiti amal ibadat dan tempoh usianya. Disebut terbaik jika seseorang memiliki umur yang panjang dan sentiasa berada dalam ketaatan. Sebaliknya, gelaran manusia terburuk diberikan kepada mereka yang umurnya panjang, tapi kesibukannya adalah maksiat dan dosa kepada ALLAH.

Fikirkan:

  1. Apakah kesibukan itu memberikan kebaikan yang mendatangkan pahala?
  2. Adakah kita semakin hampir atau jauh dari ALLAH?
  3. Bagaimana pula dengan usaha kita untuk mencapai reda ALLAH?
  4. ALLAH melimpahkan nikmat yang tidak terhitung kepada hambanya. Apakah kita mensyukuri nikmat-nikmat itu dengan melakukan kebaikan atau sebaliknya?

Renung dan fahamilah petikan daripada Ibnu Kathir RHM yang berkata: "Hisablah diri kamu sebelum dihisab, perhatikanlah apa yang sudah kamu simpan daripada amal soleh untuk hari kebangkitan serta (yang akan) dipaparkan kepada Tuhan kamu." (Taisir Al-'Aliyil Qadir, 4/339)

PERLU DICARI

Pensyarah di Jabatan Syariah Kolej  Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) ini turut menjelaskan, hidayah terbahagi kepada dua kategori, iaitu:-

  1. Hidayah dengan makna menunjuk jalan ke arah jalan yang benar dan memberi bimbingan melakukan kebaikan, ini adalah tugas rasul dan diikuti ulama dan pendakwah selepas tidak ada lagi nabi.
  2. Hidayah memberi petunjuk dan menerima kebenaran. Hidayah jenis ini hanya ALLAH sahaja yang berhak untuk memberinya, sebagaimana fi rman-Nya dalam Surah Al-Qasas ayat 56. Ayat ini diturunkan kepada Nabi SAW menjelaskan mengenai bapa saudaranya, Abu Talib yang dikasihi, yang telah berkorban menjaga dan membela Baginda SAW, tetapi enggan peluk Islam.

"Antara hidayah yang diberikan ALLAH kepada manusia ialah Hidayatul Aql (kemampuan berfi kir, kemampuan untuk memahami suasana, memberikan persepsi, memberikan makna realiti yang tertangkap oleh panca indera). Akal dapat membantu kelemahan dan keterbatasan pancaindera manusia.

"Sementara Hidayah Ad-Din pula, ia adalah hidayah berupa petunjuk (ajaran agama). Fungsinya untuk membantu keterbatasan akal manusia. Agama menjelaskan hakikat kehidupan, kematian, kebahagiaan dan lainlain. Yang mana semua hal tersebut (ghaibiyyah) tidak mungkin dapat difahami hanya dengan pendekatan akal," katanya.

Perihal ini turut dijelaskan dalam fi rman-Nya: "Sesungguhnya Kamilah yang memberi petunjuk." (Surah Al-Lail: 12) ALLAH telah menetapkan hak untuk memberi petunjuk atau hidayah kepada manusia.

HIDAYAH AD-DIN

Hidayah Ad-Din terbahagia kepada  dua bahagian:

a. Hidayah Dilalah; iaitu petunjuk hidup yang termaktub dalam kitab suci al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Tujuannya agar manusia tidak tersesat dalam mengharungi kehidupan. Hidayah agama akan diperoleh jika manusia mahu mendapatkannya, sama ada orang Muslim ataupun kafir.

"ALLAH akan memberikan Hidayah Dilalah kepada semua manusia yang mahu mempelajari ajaran-Nya yang termaktub dalam kitab suci-Nya. Kerana itu tidak ada alasan bagi kita untuk mengatakan bahawa saya belum mendapat hidayah, padahal ALLAH telah menyediakan hidayah itu dalam kitab-Nya.

b. Hidayah Taufi q; Hidayah yang sangat mahal, tetapi ALLAH telah berjanji kepada manusia akan memberikan hidayah-Nya kepada orang yang bersungguh-sungguh berjuang dan istiqamah taat pada hukum-hakamnya dalam mencapai tujuan dan cita-cita.

Hidayah Taufi q merupakan suatu kekuatan yang ALLAH berikan pada manusia untuk mengamalkan dengan bersungguh-sungguh apa yang telah diketahuinya. Atau dengan kata lain Hidayah Taufi q adalah Hidayah Dilalah yang kita amalkan.

"Misalnya kita sudah tahu solat itu wajib, ini adalah Hidayah Dilalah. Maka kita pun rajinmelakukan solat, ini pula adalah Hidayah Taufiq. Kalau sudah tahu solat itu wajib, tapi tidak melaksanakannya, bermakna kita mempunyai Hidayah Dilalah tapi tidak punya HidayahTaufiq.

"Hidayah Taufiq adalah hak mutlak ALLAH, iaitu kurnia ALLAH untuk hamba-hamba pilihan-Nya, sebagaimana fi rman-Nya dalam Surah Al-Qasas ayat 56," ulasnya beliau panjang lebar. Menurut beliau lagi, antara kaedah untuk mendapatkan Hidayah Taufi q adalah dengan berdoa, beribadat, perbanyakkan amal soleh, serta berada dalam persekitaran yang kondusif. Ciri-ciri orang yang mendapat Hidayah:-

  1. Berasa mudah untuk beramal soleh.
  2. Hatinya terbuka untuk menerima Islam, rajin beribadah dan menuntut ilmu.
  3. Bersemangat dalam mempelajari ajaran agama.
  4. Berasakan kerinduan kepada ALLAH.
  5. Istiqamah dan ikhlas.
  6. Sabar menghadapi ujian.

Apabila ALLAH meneguhkan hidayah, tidak ada yang dapat memalingkan dan menyesatkannya. Sedangkan hati setiap manusia itu berada di bawah kuasa-Nya. Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya hati anak Adam (manusia), semuanya berada di antara dua jari dari jari-jemari ALLAH (yakni di bawah kuasa ALLAH), laksana hati yang satu, Dia arahkan ke mana saja yang Dia kehendaki." (Riwayat Muslim)

Maka sesiapa yang hatinya dijaga ALLAH dengan hidayah, tiada seorang pun yang boleh menyesatkannya. Kerana itu kita hendaklah sentiasa memohon kepada ALLAH supaya tidak menjadikan hati kita sesat setelah Dia memberi petunjuk dan kita juga memohon limpahan rahmat dari sisi-Nya, sesungguhnya Dia Yang Maha Pemberi. Semoga tazkirah ini menginsafkan agar tidak lagi menangguhkan taubat dan kembali bersimpuh di hadapan ALLAH memohon hidayah dan taufi k-Nya.

Jemput hidayah

HIDAYAH taufi q hanya milik ALLAH SWT semata. Dia menganugerahkannya kepada seseorang sebagai kurnia dan rahmat-Nya. Dia tidak memberikannya kepada hamba-Nya yang lain, ini adalah sebuah keadilan dan kebijaksanaan-Nya. Dia Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapatkannya dan siapa yang tidak. ALLAH SWT berfi rman: "Maka sesungguhnya ALLAH menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki." (Surah Fathir: 8)

ALLAH tidak memberitahu perihal 'sebab', melainkan Dia telah menjelaskan dan memberitahukan di antara sebab-sebab itu ada yang disyariatkan dan ada pula yang diharamkan-Nya. Termasuk juga sebab-sebab mendapatkan hidayah. Di antaranya adalah:-

  1. Beriman kepada ALLAH dengan keimanan yang benar, sebagaimana keimanan pendahulu kita yang soleh.
  2. Membaca al-Quran, mendalaminya dan mengamalkan kandungannya, kerana salah satu daripada hikmah diturunkannya al-Quran adalah sebagai petunjuk bagi manusia.
  3. Berdoa dan memintanya kepada ALLAH sebagaimana diperintahkan dalam Surah Al-Fatihah.
  4. Mentaati Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan. '
  5. Bersemangat mengkaji ilmu agama.

RAIH HIDAYAH ALLAH

Pertama: Berlapang dada dan terbuka untuk menerima Islam dan segala ajarannya. Kekunci untuk melapangkan dada menerima Islam ialah tauhid mengesakan ALLAH, tanpa mencampurinya dengan sebarang unsur syirik yang menyempit dan menggelapkan dada.

Kedua: Berterusan dalam berzikir kepada ALLAH dalam setiap keadaan. Zikir akan mengikat hati kepada ALLAH dan berperanan sebagai sumber utama bagi ketenangan hati dan kelapangan dada.

Ketiga: Membaca al-Quran, bertadabbur dengan memerhati makna dan maksud yang ingin disampaikan dengan khusyuk. Ia adalah sejenis zikir juga tetapi lebih khusus, ia mempunyai kelebihan dan kepentingannya tersendiri.

Keempat: Berfi kir perihal kejadian makhluk ALLAH; melihat kepada kekuasaan ciptaan langit dan bumi serta yang di antara keduanya.Sudah pasti akal yang sihat dan waras, selepas memerhati dan memikir mengenai kejadian ini akan bertambah keimanan dan kekhusyukannya kepada ALLAH, bercahaya dengan hidayah-Nya.Ini kerana tidak mungkin kejadian sehebat ini akan berlaku dengan sendirinya secara semula jadi dan mustahil juga di sebalik semua makhluk dan kehidupan ini tiada kuasa yang agung, Pencipta yang maha mengetahui, yang logik dan diiktiraf oleh akal yang waras dan pemikiran yang benar.

Kelima: Bersahabat dengan orang yang baik dan soleh. Berapa ramai orang yang sesat dan lagha, telah diberi hidayah oleh ALLAH melalui kawan yang soleh, yang menunjukkan kepada mereka jalan yang benar dalam kehidupan ini. Maka kita hendaklah memilih kawankawan yang baik dan dapat membawa kita ke arah kebenaran dan kebaikan, ini kerana seseorang itu akan terikut-ikut dengan cara dan gaya hidup temannya! Maka kita hendaklah meminta perlindungan dengan ALLAH daripada terjebak dengan kawan-kawan yang tidak baik.

Keenam: Berdoa. Bukankah doa itu senjata bagi orang mukmin?

HIDAYAH ITU TERHALANG JIKA...

  1. Meninggalkan kewajipan dan suruhan ALLAH seperti solat lima waktu, puasa Ramadan, tidak menutup aurat dan seumpamanya.
  2. Melakukan kemungkaran dan maksiat seperti makan riba, rasuah, minum arak dan berjudi.
  3. Memiliki sifat mazmumah (tidak baik) seperti tamak, riyak,tidak ikhlas dan bangga diri.
  4. Tidak menghormati ibu bapa, guru, orang-orang soleh dan alim.
  5. Malas berdoa.
  6. Tidak reda dengan ketentuan ALLAH.
  7. Bersikap sombong dan tidak mahu menerima kelemahan diri, lalu terus berada dalam kejahilan.
  8. Tidak sabar/putus asa menghadapi ujian ALLAH.
  9. Tidak bersyukur dengan nikmat ALLAH.