"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku." (Surah Al-Dhariyat, 51:56)

SUDAHKAH kita berinteraksi dengan al-Quran hari ini?
Pengalaman bekerja mengendalikan khidmat pelanggan dan komunikasi korporat di syarikat dahulu, menjadikan saya orang yang sibuk, sehingga jarang sekali saya menanyakan soalan tersebut. Walhal, sebagai seorang Muslim, al-Quran sepatutnya menjadi way of life kita, menjadi 'kunyahan' dan dinikmati setiap hari. Hari ini, saya disedarkan saya sibuk kerana tidak membaca al-Quran setiap hari, sedangkan dengan membaca al-Quranlah saya mampu menguruskan kesibukan saya dengan baik. Yang membuat saya sibuk selama ini adalah kerana tiadanya al-Quran dalam dada dan jiwa. Yang membuat saya sibuk sebelum ini adalah masa yang dipergunakan untuk mengejar cita-cita dunia dan wang ringgit serta harta.


Jangankan kepada orang yang sibuk dengan urusan kehidupannya sendiri, kepada orang mukmin di tengah medan perang pun tetap diperintahkan agar membaca al-Quran sebagaimana fi rman ALLAH: "...Dia memberikan keringanan kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada al-Quran, Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit, dan yang lain berjalan di bumi mencari sebahagian kurniaan ALLAH, dan yang lain berperang di jalan ALLAH, maka bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada al-Quran dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat, dan berikanlah
pinjaman kepada ALLAH pinjaman yang baik..."
(Surah Muzammil, 73: 20)


Daripada terjemahan di atas, saya belajar bahawa ada perintah dari ALLAH SWT untuk baca al-Quran dalam tiga waktu yang sempit iaitu ketika sakit, golongan yang berjalan di bumi mencari kurniaan ALLAH dan golongan yang berada di medan perang. Walaupun berjihad, mereka sentiasa akrab dengan al-Quran, apatah lagi buat diri kita yang sihat dan tidak berada di medan perang. Saya juga belajar, orang yang berada di dalam dakapan al-Quran, tidak hanya diberi jalan kebaikan, petunjuk dan solusi tetapi al-Quran juga akan menguruskan hati kita, cita-cita dan hawa nafsu kita.

Jadikanlah al-Quran sebagai tabir rahsia alam dan pintu pembuka keberkatan hidup kita. ALLAH akan memudahkan segala urusan, Insya-ALLAH. Mintalah, nescaya ALLAH akan memberimu. Saya pernah melalui proses panjang untuk memotivasikan diri dan mencari cara bagaimana untuk bahagia berhadapan dengan kehidupan dan pekerjaan. Saya mencarinya di seminar-seminar besar yang dihidangkan oleh pakar motivasi luar negara, membaca buku tulisan Barat dan sanggup menghabiskan duit setiap bulan untuk hadiri seminar.


Secara tidak sedar, kerangka fikir dibentuk oleh cara motivasi Barat.
Ada kalanya terjerit-jerit, terlompat-lompat, berlaku percampuran lelaki perempuan dan motivasi yang bersifat sangat keakuan. Kebahagiaan fizikal dan material menjadi motivasi di dalam mencari kejayaan. Saya melukis pelan mimpi dan membiarkan ia masuk 'menghantui' saya. Ya, benar, ALLAH berikan. Namun, suatu saat saya berfikir, itukah tujuan utama hidup saya di dunia? Apakah sebetulnya yang ALLAH mahukan lewat
ayat-ayat-Nya?

ALLAH berfi rman: "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku." (Surah Al-Dhariyat, 51:56)

Maka benarkah apa yang saya lakukan selama itu telah memanifestasikan ibadah saya kepada ALLAH? Apakah tindak-tanduk atau ucapan saya melambangkan cinta yang diredai oleh ALLAH? Kerangka fi kir saya tidak didasari oleh apa yang ada di dalam al-Quran, astaghfi rullah hal azim.

Persekitaran, rakan-rakan, bahan yang kita baca, kursus yang kita hadiri, sedikit sebanyak mempengaruhi cara kita memandang kehidupan. Berada dalam persekitaran yang mementingkan hubungan sosial atas nama networking atau material, mendorong saya untuk terpalit sama. Hati itu sangat mudah disentuh dan dikuasai oleh suasana yang kita diami. Ada waktunya terjadi pertembungan yang sukar dimengerti, kita keliru antara pertembungan dan kemahuan yang ingin diikuti. Hati inginkan apa yang terpampang di hadapan mata namun jauh di sudut hati yang paling dalam, ada yang kita cari. Ketika bekerja di sebuah syarikat yang terlibat dengan aktiviti melobi projek dan entertainment, walau tidak terlibat secara terus, saya menjadi sebahagian daripada kumpulan berkenaan, menyaksikan ada garis agama yang dilanggar dalam usaha lobi melobi. Saat bekerja juga, ada waktunya tindakan kita begitu terpisah dengan agama. Ramai dalam kalangan ketua yang saya temui, mereka tidak berani untuk mengimplementasikan apa yang ada di dalam al-Quran ke dalam syarikat. Walaupun mereka memegang kuasa yang mampu merubah sesuatu. Di mulut, kita mengatakan yakin pada apa yang ALLAH gariskan di dalam al-Quran, namun dalam implementasi, kita sesungguhnya masih ragu-ragu. Justeru itu, saya kira, pentingnya kita wujudkan persekitaran atau ekosistem yang kondusif sehingga kita berasakan bahawa al-Quran adalah rujukan terpenting dalam kehidupan.

Pentingnya kita mengarusperdanakan al-Quran sehingga ia menjadi budaya atau cara hidup kita. Mulakan perubahan bermula daripada diri, keluarga dan jabatan kita sehingga persekitaran kita ikut berubah dengannya. Bersama-sama kita siapkan suasana dan diri kita untuk hidup dalam dakapan al-Quran, di rumah, di sekolah, di pejabat dan juga komuniti. Kerana inilah jalan yang indah dan teduh, saat jiwa terpaut dan berasa rindu kepada al-Quran.

Moga kita menjadi pencinta al-Quran yang hidup berlandaskan al-Quran; tidak membaca bahan lain sebelum membaca al-Quran, tidak berdebat tanpa wahyu di dalam kata-kata, tidak bertindak tanpa petunjuk wahyu dan sabda Nabi Muhammad SAW dan tidak juga merujuk kepada ilmuwan Barat yang hakikatnya mereka sendiri keliru menjalani kehidupan kerana ketiadaan wahyu dalam akal dan tindakan mereka. Moga kita menjadi manusia yang beruntung saat al-Quran menjadi penolong buat diri, keluarga dan ummah. Sama-sama lakukan perubahan melalui interaksi dengan al-Quran; baca, faham dan amalkan. Lakukan perubahan dengan apa yang kita mampu.