FIRMAN-NYA: "Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana ALLAH telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya. Dan ALLAH membuat perumpamaan itu agar manusia mereka sentiasa ingat." (Surah Ibrahim: 24 & 25)

"ISLAM itu terlalu indah, cantik dan sempurna." Kata-kata itu adalah sebahagian daripada pengakuan pendakwah terkenal antarabangsa, Mohd Hussain Abdullah atau lebih dikenali sebagai Sheikh Hussain Yee.

Seorang yang sangat terkenal dalam lapangan dakwah. Ketokohan dan keilmuannya begitu dihormati sehingga ke luar negara. Namun bagi beliau, tiada apa yang mahu dibanggakan, usahanya ini hanya untuk ummah dan juga Islam.

Personaliti dakwah kelahiran Kedah ini banyak mengukir nama di seluruh dunia. Penyampaiannya cukup bersahaja namun padat dengan ilmu. Ceramah beliau boleh diikuti melalui media sosial dan juga Youtube. Setiap perkongsian dan persoalan yang diajukan kepada beliau, akan dijelaskan bersandarkan kepada dalil dan hujah yang sahih daripada al-Quran dan sunnah.

Sedikit perihal dirinya, beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga berketurunan Cina dan beragama Buddha. Pada tahun 60-an, Sheikh Hussain akhirnya memeluk Islam ketika beliau masih remaja. Beliau menyedari, Islam itu terlalu indah dan cantik. Islam bukanlah sebuah agama eksklusif yang hanya dimiliki oleh satu kelompok tertentu. Tetapi Islam itu adalah agama universal untuk semua umat di bumi ini.

Kemudian, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah di Arab Saudi dalam jurusan Hadis. Di sana beliau berpeluang menimba ilmu dan pengalaman dengan ulama hebat dalam bidang hadis seperti Sheikh Muhammad Nasiruddin Al Albani dan juga Sheikh bin Baaz, iaitu seorang bekas mufti yang juga penasihat agung kerajaan Arab Saudi. Kini Sheikh Hussain lebih menumpukan sepenuh masa dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Al-Khadeem yang ditubuhkan beliau bersama dengan sekumpulan sukarelawan pada tahun 1984.

Baru-baru ini, nama beliau mula menjadi bualan  ramai. Sekeping gambar yang memaparkan beliau mencium dahi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menjadi tular di media sosial. Pelbagai reaksi positif mahupun negatif diterima beliau. Seperti biasa, Sheikh Hussain menerimanya dengan tenang, ia hanya kebetulan dan sama sekali tidak dirancang.

Katanya, beliau sudah terbiasa dengan budaya Arab yang melazimkan perbuatan itu sebagai tanda menghormati seorang pemimpin, orang tua dan juga ulama. "Selepas pertemuan rasmi, diadakan juga sesi bersalam-salaman. Jadi, apabila sampai ke giliran saya, itulah yang berlaku."

Rehal berpeluang bertemu mata dengan tokoh dakwah yang cukup ramah ini. Menerusi wawancara bersama wartawan, SYAHIDATULAKMAL DUNYA, beliau berkongsi pandangan dan komen terhadap isu-isu yang berkaitan dengan cabaran Islam hari ini.

Rehal : Islam itu adalah agama dalil, tetapi ada yang berpendapat, umum tidak perlu dibebankan dengan semakan hadis dan sebagainya. Cukup sekadar mendengar kata mufti sudah memadai. Komen ustaz?

SHY: Ada benarnya jika seorang mufti itu berpegang kepada amanahnya bahawa dia tidak akan keluarkan apa-apa fatwa tanpa dalil. Tapi, sebaliknya pula jika seseorang itu mengeluarkan fatwa baharu yang memang tidak mempunyai sebarang dalil. Untuk itu, majlis fatwa perlu bersidang dan berbincang secara terperinci. Secara umum, seorang mufti yang diamanahkan untuk menjaga agama itu perlu mempunyai dalil yang cukup sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Dikhuatiri, orang awam boleh menilai kembali keputusan mufti jika tidak berhati-hati.

REHAL: Apakah pandangan ustaz dengan situasi label-melabel dalam kalangan umat Islam?

SHY: Dalam masalah perihal kebenaran ini, kita perlu kembali kepada sejarah. Sejarahlah yang boleh membuktikan apa yang kita tuturkan itu betul atau sebaliknya. Kita semua sudah Islam, lahirnya juga Islam, datangnya Nabi SAW adalah dari Makkah bukan dari negara lain. Wahyu juga turun di Makkah juga Madinah. Ertinya keaslian agama masih ada di sini (Makkah dan Madinah). Islam itu bersumberkan kepada al-Quran dan sunnah. Disebabkan kurangnya pendedahan terhadap keduanya ini, ramai yang keliru dan salah faham terhadap kefahaman yang telah ditetapkan. Islam bukan agama yang lahir daripada pendapat atau pandangan ramai, tetapi Islam itu agama dalil yang bersumberkan kepada sumber yang sahih.

Islam mula berkembang di Nusantara adalah melalui saudagar yang datang berniaga dan bukannya daripada ulama. Penyampaian dakwah itu pula berlaku, ketika masyarakat di sini hanya melihatnya secara ritual (sembahyang, puasa dan ibadat lain lagi) tanpa mengetahui sumber keasliannya secara jelas. Tambahan pula, masyarakat di sini sudah terbiasa dengan adat dan kebiasaan.

Sementara ulama daripada Arab Saudi hanya berpegang dengan al-Quran dan hadis Nabi SAW. Sebab itu, empat imam mazhab mengatakan kalau apa yang kami cakap sesuai dengan al-Quran dan sunnah ikut, kalau tidak sesuai tinggalkan.

Dahulu, semasa saya belajar di Madinah sekitar tahun 70an dan 80an, tidak pula saya dengar orang label macam-macam, tapi kini semuanya mengelirukan. Sepatutnya, jika timbul perselisihan pandangan, rujuklah kembali kepada al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Apabila ini tidak dilakukan, maka timbullah label-melabel. Itulah bezanya orang yang bertindak dengan ilmunya berbanding dengan orang yang bertindak mengikut nafsunya. Tapi sekarang sudah terbalik, orang yang berilmu pula banyak yang suka melabelkan orang.

REHAL: Boleh ustaz jelaskan mengenai hadis Nabi SAW: "Berpegang kepada agama ibarat menggenggam bara api."

SHY: Memang banyak hadis Nabi SAW menceritakan apa yang akan berlaku pada akhir zaman. Antara tanda-tanda akhir zaman di mana kebenaran (haq) ini dianggap ganjil. Memang kebenaran itu pahit, dan mengatakan yang benar pun tidaklah mudah. Sesetengahnya akan beranggapan yang benar itu terlalu ganjil. Kita hanya perlu sabar untuk memperjelaskan yang haq dan batil kepada masyarakat.

Dalam penyampaian, ada juga yang mengatakan saya agak keras dalam menegakkan hujah. Sebenarnya saya tidak berkeras sebaliknya menyampaikan apa yang ALLAH dan Nabi SAW katakan dalam al-Quran dan hadis. Nabi-nabi pun diuji sewaktu mereka menyampaikan kebenaran. Inikan pula kita manusia biasa.

REHAL: Jangan jaga tepi kain orang. Dahulu kita tegur anak jiran tidak mengapa tapi sekarang ini lain pula jadinya, bagaimana ustaz melihat situasi tersebut hari ini?

SHY: Dahulu, pemikiran umat Islam lebih terbuka dan dapat memahaminya dengan baik. Tapi sekarang agak berbeza. Kita sudah mula berpatah balik pada adat yang bertentangan dengan Islam.

Bercakap mengenai konsep menegur dan kejiranan. Masing-masing ada hak sesama sendiri. Semua manusia yang hidup ada amanah yang perlu dijaga. Nabi SAW pernah didatangi Jibrail yang ketika itu menceritakan mengenai jiran. Selepas Nabi SAW mendengar apa yang dijelaskan Jibrail, Baginda SAW mengatakan hak jiran itu luar biasa seakan-akan boleh mewarisi harta.

Urusan yang baik perlu bantu membantu. Kita manusia, bezanya manusia ada salah dan ada baiknya. Yang baik kita sama bantu, yang tidak baik dicegah. Malangnya suasana kini sudah berubah, kita jadi masyarakat sendiri-sendiri dan suka menghukum. Jiran pun tak kenal sebab kita sudah hilang roh Islam dalam diri.

REHAL: Ustaz pernah berguru dengan tokoh hadis terkenal abad ke 20, Sheikh Muhammad Nasiruddin Albani dan sangat akrab dengan bekas Mufti Arab Saudi, Sheikh Bin Baaz. Sejauh mana pengaruh kedua tokoh ini dalam perjalanan dakwah ustaz?

SHY: Keilmuan dan teladan yang ditunjukkan oleh kedua-dua tokoh ini sangat luar biasa. Kedua-dua mereka bukan sahaja seorang guru yang banyak membantu dan membimbing, juga seorang murabbi yang sangat dihormati.

Sheikh Muhammad Nasiruddin Albani pernah mengajar di Jami’ah Islamiyah (Universiti Islam Madinah). Beliau mengajar subjek hadis dan ilmu-ilmu hadis. Antara anak murid dengan beliau sangat akrab. Malah, beliau sendiri sangat mengambil berat perihal anak-anak muridnya jika mempunyai sebarang masalah.

Sementara Sheikh bin Baaz di mata saya, beliau seorang ulama yang terkenal dengan kelembutan. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Mufti Arab Saudi. Dalam membuat keputusan, beliau sangat berhati-hati dan tidak tergesa-gesa. Selain seorang yang pemurah, beliau juga seorang yang bertanggungjawab. Sejujurnya saya memandang tinggi keperibadian beliau. Kami sering berhubung dan berbincang tentang pelbagai isu. Layanan beliau kepada saya juga ibarat layanan seorang bapa kepada anaknya.

REHAL: Bagaimana pula dengan perjalanan dakwah ustaz di peringkat antarabangsa?

SHY: Alhamdulillah... sampai ke hari ini permintaan mengadakan aktiviti di luar negara sentiasa ada. Saya ke Jakarta, Jepun, Norway dan banyak lagi negara. Masyarakat di luar negara sama ada Muslim atau bukan Muslim menerima kedatangan kami dengan baik dan fikiran mereka sangat terbuka.

REHAL: Boleh ustaz jelaskan tentang, salah faham dunia luar yang memandang budaya masyarakat Arab yang dilihat bermewah, tetapi sentiasa menghulurkan bantuan?

SHY: Memanglah kebaikan seseorang itu tidak boleh diukur. Dalam kalangan mereka, budaya menghulurkan bantuan itu dibuat secara tersembunyi. Hakikatnya pelbagai kebaikan yang dibuat oleh mereka, tetapi tidak dihebohkan kepada umum malah media juga tidak mengetahuinya. Saya rasa ini sesuatu yang baik, dan tiada apa yang perlu diragukan. ALLAH bagi nikmat lebih kepada mereka dan sekurang-kurangnya kekayaan yang ALLAH bagi itu, diagih-agihkan juga untuk membantu pihak atau individu yang memerlukan.

Sekilas mengenai SHY:-

  • Beliau fasih berbahasa Inggeris, Melayu, Arab dan Hokkien.
  • Beliau menyampaikan mesej perihal Islam dan keamanan kepada masyarakat antarabangsa
  • seluruhnya.
  • Sehingga kini, beliau telah menyampaikan mesej Islam di lebih 20 negara dan lima buah benua,
  • termasuk Hong Kong, China, Fiji, Australia, New Zealand, Maldives, Kashmir, India, Pakistan, Denmark, Turki, Amerika Syarikat, Kanada, Oman, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Belanda.
  • Perbincangan beliau boleh dilihat di media sosial.
  • Ceramahnya turut disaksikan kira-kira berjuta penonton di saluran Youtube.
  • Beliau juga diberi peluang bersiaran di TV Bahrain, TV Islam Channel London, Peace TV India, dan TV Iqra'.


SHY ialah Pengasas dan Presiden
Pertubuhan Al-Khadeem, Malaysia.
Beliau begitu komited dalam dakwah
dan kerja-kerja masyarakat. Beliau juga
seorang yang unik, sangat berpengaruh
dan dikenali di dunia dakwah
antarabangsa.