Sudah tiba waktunya untuk diharamkan pornografi, laman-laman web berunsur seks dan lucah di Internet bagi menyelamatkan akidah, pemikiran dan perilaku anak-anak muda di negara ini.

 

Pendedahan secara meluas sedikit sebanyak turut menyumbang kepada gejala sosial lain seperti perlakuan seks bebas di kalangan remaja yang akhirnya menyebabkan berlakunya jenayah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara ini. Lihat sahaja di televisyen, akhbar dan majalah, kes pembuangan bayi sering menjadi tajuk utama, dan kebanyakannya ditemui tidak bernyawa dalam keadaan yang menyedihkan.

 

Pornografi boleh mendatangkan kesan negatif kepada semua peringkat sama ada kepada orang dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. Namun, golongan yang sering menjadi sasaran, adalah kaum wanita. Mereka dieksploitasi dalam pelbagai bentuk, sama ada lukisan, tulisan dan juga gambar. Kemudiannya mereka di 'cop' sebagai simbol seks apabila segala bentuk imaginasi ini ditular tanpa sempadan.  Mengejutkan juga, ramai di kalangan anak-anak sudah mula cenderung kepada hiburan yang berunsur pornografi. Pendedahan terhadap hiburan, filem serta bahan bacaan yang boleh merangsang syahwat ini sedikit sebanyak  mempengaruhi dan memberi kesan buruk terhadap otak mereka.  

 

Siapa sepatutnya perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu ini? Di sekolah guru hanya sebagai pembimbing bersifat, sedangkan di rumah, ibu bapalah yang menjadi pendidik berterusan kepada anak-anak. Bercakap tentang isu pornografi, keluargalah yang perlu memainkan peranan utama dalam menyelesaikan masalah virus Porno ini.  Ia amat selari dengan ciri negara rahmah yang di gariskan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia.

 

Institusi Keluarga yang Utuh

Pembentukan awal institusi keluarga itu dibina melalui dua jantina yang disatukan atas ikatan perkahwinan. Isteri atau ibu, merupakan orang kedua  dalam keluarga. Penglibatan wanita dalam institusi kekeluargaan mendatangkan impak yang sangat mendalam. Pencorakan hala tuju sesebuah keluarga terletak di tangan seorang ibu dan isteri.

 

Peranan wanita dalam membentuk keluarga adalah sangat penting. Pendidikan awal anak-anak merupakan prioriti utama selepas kebajikan kepada suami. Anak-anak di rumah memerlukan sentuhan seorang ibu bagi menjana pembentukan diri secara holistik.

Pendidikan secara tidak langsung dapat dipraktikkan dengan aktiviti bersama anak anak dengan membawa kaitan kepada kehidupan yang penuh onak duri ini. Sebagai contoh aktiviti di dapur atau mengemas rumah mampu mewujudkan hubungan akrab antara ibu dan anak. Selain itu meluangkan masa bersama anak dengan membantu melaksanakan tugasan sekolah juga mampu menyuntik semangat cintakan ilmu. Ini semua adalah contoh yang mudah dilaksanakan dan difahami

 

Pada pengamatan penulis, kebanyakan ibu membiarkan anak-anak mereka melakukan kerja sekolah secara bersendirian. Kelihatannya seperti kurang penting, namun ketika inilah sebenarnya anak-anak memerlukan peneman dan penasihat. Kesannya, dewasa kelak, anak-anak ini pasti akan mencari ibu mereka untuk meluahkan segala masalah yang terbuku. Namun hal ini tidak ramai yang faham dan menyedari.

 

Inilah permulaan timbulnya perasaan sayang dan penanaman nilai akhlak dalam diri anak anak. Jika hal seperti ini dipraktikkan dalam setiap keluarga, saya yakin dan percaya masalah pornografi yang besar ini mampu di bendung dari masa ke semasa.

Kesimpulannya, kebersamaan wanita yang bergelar ibu itu mampu menyuntik elemen berilmu, berakhlak dan penyayang kepada ahli keluarganya. Seterusnya akan menyemarakkan masyarakat yang berkeperibadian tinggi. Mudah kan ?

 

Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang

Keberhasilan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang datangnya dari institusi keluarga yang utuh. Satu masyarakat yang harmoni terbentuk dari keluarga  yang mementingkan keharmonian dan kasih sayang. Semangat kecintaan dan berakhlak ini di pupuk melalui ilmu dan hubungan yang baik sesama individu di dalam sesebuah rumah tangga.

Wanita merupakan susuk yang amat penting di dalam mewujudkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang. Hari ini ramai wanita telah menceburi pelbagai bidang. Bidang-bidang ini menjadi tiang utama di dalam mengukuhkan institusi masyarakat.

Banyak peluang telah diberikan kepada kaum wanita dalam mengubah dan memberi kesedaran terutama di dalam isu pornografi. Mothers Against Pornography, merupakan suatu gerakan sukarelawan mendidik, memberi kesedaran dan mencegah hal-hal berkenaan virus Pornography.

 

Seharusnya, wanita di luar sana harus menggunakan peluang ini untuk membantu agar masalah yang kian lama merebak ini dapat dicantas dan diatasi. Gunakan apa sahaja kepakaran yang anda ada. Sekiranya anda seorang guru, maka gunakanlah peluang ini bagi menerangkan kepada ibu ayah di sekolah tentang bahaya pornografi kepada ibu bapa dan pelajar. Sekiranya anda seorang penjawat kerajaan awam di pelbagai sektor, maka gerakkanlah isu ini dalam mana-mana slot atau program kesedaran. Begitu juga para ibu di kalangan suri rumah, anda sebenarnya masih lagi berupaya mendidik masyarakat agar terus berilmu, berakhlak dan penyayang dengan menggerakkan kumpulan pengajian Al-Quran mingguan dan menyelitkan isu pornografi ini.

 

Hakikatnya, ramai di kalangan wanita berkemampuan untuk membantu membanteras virus pornografi ini. Sekiranya tidak mampu untuk menggerakkan dalam masyarakat, maka cukuplah dengan hanya menggerakkannya di dalam keluarga bersama suami dan anak-anak. Dengan harapan, mereka akan tularkan kesedaran ini kepada masyarakat dan menjadi individu di dalam masyarakat yang mampu memberi kesedaran dan pencegahan.

 

Sekiranya wanita Malaysia berjaya memainkan peranan masing-masing dalam menyebarkan mesej Goodbye Pornografi dalam membanteras virus Pornografi di kalangan masyarakat,  sudah tentu objektif untuk melahirkan golongan yang berilmu, berakhlak dan penyayang dapat direalisasikan.

 

Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni

Isu masalah pornografi, bukan isu individu, bangsa atau agama tertentu. Namun ianya adalah isu yang merentasi bangsa dan agama. Ini adalah isu global, yang perlu disambut oleh semua lapisan masyarakat, agama dan bangsa.

Di hadapan kita terlalu banyak isu yang mengelirukan masyarakat. Dari isu agama yang melibatkan akidah dan fikrah maka timbullah pula budaya melabel. Kesannya memberi kepincangan kepada umum dan akhirnya hubungan sesama etnik dan penganut agama yang lain akan terjejas. Lagi memualkan jika perpecahan ini dilakukan hasil adu domba oleh golongan agamawan yang mempunyai masalah hati.

Namun isu virus pornografi, merupakan isu yang dapat menghubungkan keharmonian antara etnik dan penganut agama lain. Hakikatnya, tiada siapa pun yang mengiktiraf aktiviti pornografi. Penulis percaya, sekiranya kesedaran ini muncul dalam diri setiap insan yang bernama wanita maka kejadian seperti rogol, jenayah seksual, sumbang mahram dan segala masalah sosial yang kian parah ini akan merosot. Syaratnya semua lapisan masyarakat, bangsa dan agama berganding bahu dalam menangani isu Pornografi ini.

 

Ayuh, Wanita Malaysia bersama Mothers against Pornography. Kita berperanan bersama demi menjayakan misi kesedaran agar virus pornografi tidak merebak di dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat. Seterusnya kita berganding bahu tanpa mengenal perbezaan bangsa dan agama demi Malaysia tercinta.