Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekelian alam, serta Selawat dan Salam ke atas Rasulullah, utusan-Nya juga rahmatan lil-‘alamin, keluarga dan para sahabatnya.
Sunnah adalah sumber Syariat kedua setelah al-Quran. Tidak mungkin seorang yang mengaku mengikut agama Allah ini sempurna imannya kecuali dengan mengambil sunnah Nabi s.a.w dan digandingkan dengan kitab suci Allah SWT. Oleh kerana itu banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis mutawatir yang memerintahkan agar taat kepada Rasulullah dan berpegang teguh dengan sunnah dan menjadikannya sebagai hujjah (dalil, bukti). Umat Islam juga telah berijma’ dalam hal ini.
 
Al-Qur’an menyifatkan As-Sunnah dengan makna hikmah. 
Allah SWT berfirman: 
Ertinya : {Sesungguhnya Allah telah memberikan kurniaan bagi orang-orang yang beriman, ketika Dia mengutus di antara mereka seorang Rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya dan membersihkan mereka (dari sifat-sifat jahat), dan mengajarkan Al-Kitab (Al-Qur’an) dan Al-Hikmah (As-Sunnah). Sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata}. [Ali-Imran: 164]
Maksud perkataan Al-Kitab pada ayat ini adalah Al-Quran, dan yang dimaksudkan dengan Al-Hikmah adalah As-Sunnah. 
 
Tidak terdapat satu perbuatan pun yang semata-mata berpunca daripada sabda Baginda melainkan perbuatan itu disebutkan oleh al-Quran secara umum. 
Firman Allah Taala di dalam al-Quran yang bermaksud: 
{Dan apa yang didatangkan oleh Rasul kepada kamu, maka ambillah! Dan apa yang ditegahnya, jauhilah!} [Al-Hasyr: 7]. 
Dan firman-Nya lagi: 
{Katakanlah! Sekiranya kamu menyintai Allah Taala, maka ikutlah aku. Kamu akan dikasihi Allah. Dan Dia akan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang. Katakanlah! Taatlah akan Allah dan Rasul. Dan sekiranya kamu berpaling maka sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang kafir.} [Aal Imran: 32].
 
Para Sahabat juga sepakat mengatakan hadis sebagai hujjah. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang hanya beramal dengan al-Quran sahaja. Apa yang pernah diriwayatkan bahawa ada sebahagian daripada mereka yang menolak hadis yang diriwayatkan kepada mereka, bukan bermakna mereka menolaknya, tetapi dia tidak yakin dengan kesahihan hadis tersebut atau terdapat hadis lain yang baginya lebih kuat.
 
Dalil-dalil dari al-Quran tentang kehujjahan hadis Rasulullah s.a.w:
Firman Allah SWT:
{Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan uli al-amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.}  [Al-Nisaa’: 59]
Kembali kepada Allah adalah kembali kepada kitab-Nya, dan kembali kepada Rasulullah s.a.w adalah kembali kepadanya semasa hidupnya dan kepada Sunnahnya setelah wafatnya.
 
Allah SWT berfirman lagi:
{Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.} {Aali Imran: 31].
Ayat ini menunjukkan bahawa cinta kepada Allah itu adalah ittiba’ (mengikuti) Rasulullah s.a.w. Mengikuti Rasulullah itu adalah mengikutinya dalam segala ucapan, perbuatan dan petunjuknya. Maka pengakuan cinta kepada Allah dari orang yang tidak mengikuti hadis Nabawi dan tidak memandang wajibnya mengamalkan hadis, adalah pengakuan dusta belaka.
 
Dalil-dalil Sunnah:
Sabda Nabi s.a.w:
Maksudnya: “Semua umatku akan masuk syurga kecuali yang menolak dan tidak mahu.” Sahabat bertanya: “Siapakah yang menolak wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Sesiapa yang taat (setia) kepadaku dia pasti masuk syurga dan sesiapa yang menderhakaiku maka bererti dia menolak.” [Riwayat Bukhari : 6751].
Daripada keterangan ini jelaslah bahawa berhujjah dengan sunnah dan mengamalkannya adalah wajib, dan bahawa kedudukannya sebagai sumber yang kedua selepas daripada al-Quran, wajib ditaati dan diikuti. Orang yang tidak mengambil sunnah pada hakikatnya sama dengan tidak mengambil al-Quran.
Taat kepada Rasulullah adalah taat kepada Allah, maksiat kepada Rasulullah s.a.w adalah maksiat kepada Allah SWT. Sesungguhnya jalan selamat dan benteng daripada kesesatan adalah berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah secara seiring, menurut manhaj dan mazhab Salafus-Soleh.
 
Kedudukan Sunnah Dalam Perundangan Islam. 
Para ulama' sepakat berpendapat bahawa Sunnah dianggap sebagai Hujjah dan sumber hukum. Wajib beramal dengannya jika ianya sabit dari Rasulullah s.a.w. 
 
Al-Quran, Ijma’ dan akal telah membuktikannya.
1) Al-Quran menunjukkan bahawa apa yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w secara mensyariatkan adalah wahyu dari Allah SWT.
Firman-Nya: {Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Muhammad s.a.w) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).} [An-Najm: 3-4].
Dapat difahami bahawa perkataan Rasulullah s.a.w seperti al-Quran dari segi sumber. Keduanya adalah wahyu dari Allah SWT, tetapi Sunnah diwahyukan dengan maknanya sahaja. Jika al-Quran wajib diikuti kerana ia dari Allah maka begitu juga dengan Sunnah kerana maknanya dari Allah juga.
 
2) Allah SWT telah memberi kepada Rasulullah s.a.w tugas menjelaskan makna-makna al-Quran dan menerangkan hukum-hukumnya yang umum. 
Firman Allah SWT yang maksudnya: 
{Dan kami turunkan kepadamu Al-Quran, agar kamu menerangkan pada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir.} [An-Nahl: 44].
 
Daripada ayat ini pula dapat difahami bahawa penjelasan Baginda adalah menyempurnakan al-Quran dan merupakan perkara yang amat perlu bagi membuat kesimpulan hukum. Maka Sunnah adalah salah satu daripada dalil-dalil hukum.
 
3) Banyak ayat-ayat yang menunjukkan bahawa wajib mengikut Sunnah, di antaranya:
Firman Allah SWT: {Dan apa yang didatangkan oleh Rasul kepadamu, hendaklah kamu menerimanya, dan apa yang dilarang olehnya, maka tinggalkanlah}. [Al-Hasyr: 7].
 
4) Ijma’ (Kesepakatan) ulama':
Para ulama' semenjak zaman Nabi s.a.w sehingga ke hari ini sepakat berpendapat bahawa wajib berpegang dengan hukum-hukum yang terdapat dalam Sunnah dan mesti dirujuk kepadanya untuk mengetahui hukum-hukum Syara’. Tiada para sahabat dan mereka yang kemudian daripadanya samada dari kalangan tabi’in dan seterusnya, membezakan di antara hukum yang terdapat dalam al-Quran dan yang terdapat dalam Sunnah, kedua-duanya bagi mereka wajib diikuti kerana sumber keduanya adalah satu, iaitu wahyu Allah SWT!
 
PENUTUP:
Marilah kita berpegang dan beramal dengan sunnah dalam semua aspek ajaran yang telah ditinggalkan oleh Baginda Nabi s.a.w semoga kita selamat di dunia dan berada di atas landasan yang betul untuk menuju ke akhirat.