“Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian. Adakah Pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kalian dari langit dan bumi? Tidak ada yang berhak disembah selain dia, maka mengapa kalian berpaling?” (Fathir: 3)
 
Di dalam ayat ini  Allah SWT  memerintahkan kepada seluruh manusia agar mengingat akan nikmat-nikmat-Nya. Kerana dengan berbuat demikian, ia akan mendorong kita untuk  bersyukur kepada Allah.
 
Ketahuilah, bersyukur kepada Allah SWT  itu bukan hanya dapat memelihara nikmat yang dikurniakan kepada seseorang. Bahkan, ia juga mampu menyubur dan melahirkan nikmat-nikmat baru. 
Sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Imam Ibnu Al-Qayyim, syukur itu tidak akan wujud kecuali ia disuburkan dengan  lima perkara. Iaitu, merendahkan dirinya kepada Allah, mencintai-Nya, mengakui bahawa nikmat tersebut merupakan kurnia dari Allah, memuji Allah dengan lisannya, dan tidak menggunakan nikmat tersebut untuk perkara yang dibenci oleh Allah SWT. 
 
 
Bersyukurlah dengan Ikhlas!
Bagaimanakah kita menghargai nikmat yang diberikan oleh  Allah SWT? Apakah kita banyak bersyukur atau mengkufuri nikmat-nikmat itu? 
Sebenarnya jika diukur, rasanya syukur kita masih belum cukup berbanding segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Malah, perbuatan dan ucapan kita juga banyak mengandungi pengingkaran dan penafian terhadap nikmat.  Cuba anda lihat kehidupan seharian anda, ketika bangun dari tidur, apakah anda mengukirkan senyuman, sambil bibir mengucapkan Alhamdulillah kerana masih lagi diberikan kesempatan untuk melihat dunia?  Atau anda bermasam muka kerana ingin lagi diulit mimpi dan berasa malas nak ke tempat kerja atau kuliah. 
Kadangkala ada di antara kita mudah lupa dengan kesempatan dan peluang yang Allah berikan. Sudah diberikan kerja, kita merungut, sudah diberikan makan, juga kita merungut, sudah diberikan gaji dan pendapatan, pun merungut juga.... begitu juga dengan nikmat harta benda seperti rumah dan kereta.... ada sahaja yang tidak kena dengan anda.... Kurang ini dan kurang itu. 
Padahal jika nak dibandingkan nikmat yang anda peroleh ini dengan saudara-saudara seislam kita yang hidupnya melarat dan serba daif.... memang jauh berbeza. Cuma, mereka tidak pernah mengeluh sebaliknya menerima segala ketentuan ini dengan penuh reda. Biarpun terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, mereka masih lagi mampu untuk mengukirkan senyuman dan hidup bahagia dalam suasana serba kekurangan.  
Inilah yang dikatakan nikmatnya bersyukur. tanpa keikhlasan dan rasa syukur yang sebenar, hati akan  terasa sempit dan hidup menjadi suram dan tidak bahagia..
 
Memuji Allah SWT
Rasulullah s.a.w  pernah bertanya kepada seorang lelaki,  
“Bagaimana keadaanmu pagi ini?”
“Baik,” jawab lelaki itu.
Rasulullah s.a.w mengulangi kembali  pertanyaannya. Dan lelaki itu masih dengan jawapannya yang sama. 
Walau bagaimanapun, Rasulullah  masih lagi tidak berpuas hati dengan jawapan lelaki itu dan  baginda terpaksa mengulangi pertanyaan yang sama..... lalu lelaki tersebut menjawab, “Keadaanku baik dan aku  memuji syukur kepada Allah SWT,”
Barulah Rasulullah s.a.w berkata, “Jawapan itulah yang aku inginkan darimu.”
Bersyukur bererti menghargai nikmat yang telah kita terima dan memuji Allah SWT sebagai Zat Yang Maha Pemberi nikmat. Namun, sayangnya manusia tidak dapat merasai nikmat itu, apatah lagi memuji Allah Maha  Pemberi nikmat.  Apa yang sering dilafazkan oleh manusia adalah keluhan tentang kekurangannya. 
Diakui, sesiapa sahaja boleh bercita-cita untuk inginkan sesuatu yang lebih baik. Namun janganlah sampai kita lupa untuk mensyukuri apa yang Allah telah berikan kepada kita, sehingga kita mensia-siakan nikmat yang ada.... 
 
Resipi  Syukur Rasulullah 
Nasihat  Rasulullah s.a.w, dengan melihat orang yang berada di bawah akan dapat melahirkan rasa syukur dalam diri. Namun, dalam urusan amal dan  kebaikan, lihatlah orang yang berada di atas, kerana kemuliaan seseorang itu tidak diukur dari dunia yang dimiliki, tetapi dari amal kebaikan yang dilakukan.  
Untuk itu, renungi dua perbandingan di bawah agar rasa syukur itu lahir dalam diri kita semua.... 
Ketika seseorang itu berasa tidak puas hati dengan rumahnya, kerana membandingkannya dengan rumah jiran yang lebih luas dan cantik. Saat itu orang tersebut sudah mula lupa dengan apa yang telah dimiliki.  Justeru, kunjungilah jiran-jiran kita yang mempunyai rumah yang kecil dan sempit. Rasakan dan cuba bandingkannya, anda akan bersyukur dan berasakan betapa lapangnya rumah anda. .
Kalaulah anda hanya mampu memiliki sebuah motosikal sahaja, lapangkanlah dada dan bersyukurlah kerana masih ramai lagi saudara kita yang  masih berjalan kaki. Usah bermuram,  dan lihatlah wajah-wajah damai si pejalan kaki. Mereka tersenyum dan ketawa. Jadi kenapa kita tidak mahu menjadi seperti mereka? Tersenyum sambil memuji Allah SWT. 
Sekiranya  kita tidak dapat mensyukuri nikmat yang ada dalam genggaman, bagaimana mungkin kita dapat memperoleh  sesuatu yang belum pasti? Maka disebabkan itulah Allah SWT  menegur manusia dalam firman-Nya yang bermaksud, ”Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur,” (Al-Baqarah [2]: 243).
Kadangkala manusia itu hanya mula bersyukur  setelah ditimpa sakit. Padahal, tidak perlu menunggu sakit untuk melafazkan syukur itu dari mulut kita. Rasulullah s.a.w sering mensarankan  umatnya agar menjenguk dan melihat orang sakit. Dengan cara ini kita dapat  merasakan bahawa diri kita  lebih beruntung dari orang-orang itu.
Bayangkan kalau kita dalam keadaan sakit seperti mereka, makan terasa tidak enak, tidur pun tidak nyenyak. Rasanya, jika tinggal di hospital mewah sekalipun tidak akan dapat membuatkan kita bahagia. 
Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud,  ”Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku,” (Al-Baqarah [2]: 152).
 
Beramal Saleh
Allah SWT telah  berfirman, ”Dan barangsiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah [2]: 158) 
Hakikatnya, ramai di kalangan manusia  mudah  terpesona dengan nikmat tetapi mengabaikan Allah, Maha Pemberi nikmat. Bahkan, memanfaatkan pemberian-Nya dengan  menderhakai-Nya. 
Pelbagai nikmat membuatkan manusia lupa diri. Seakan berasa tidak malu menikmati kesenangan dan bersenang-senang dengan kenikmatan duniawi kurniaannya. Fikirannya bukan untuk memenuhi amanah, tetapi bermegah-megah. Mereka lupa bahawa semua nikmat dan kurniaan itu adalah cubaan yang harus dipertanggungjawabkan. Seperti  firman Allah SWT,  ”Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya), (An-Naml[27]: 40)
Sedikit atau banyak, syukurilah nikmat yang ada dengan ikhlas dan sebenar-benarnya. Iaitu, dengan melakukan amal saleh dan mentaatiNya. Kalaulah hanya dengan nikmat yang sedikit, kita masih tidak mampu untuk bersyukur, apatah lagi nikmat yang banyak? Silap-silap ia menjadi penyebab datangnya azab dan laknat. Seperti  firman Allah SWTa, ”Kemudian kamu pasti akan ditanya  pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu),” (At-Takatsur [102]: 8).
Sebenarnya terdapat satu lagi nikmat yang sangat besar yang harus kita syukuri. Iaitu, kekuatan agar kita boleh  memanfaatkan segala nikmat dari Allah SWT  untuk melakukan amal kebaikan dan beribadah kepada-Nya. Sekiranya Allah SWT telah menolong kita untuk meraih nikmat tersebut,  maka berusahalah untuk  berbuat lebih baik lagi untuk Allah.  Sehingga Allah  berkenan memberikan kita rasa nikmat luar biasa ketika kita beribadah kepada-Nya. 
Justerum syukurilah rasa nikmat beribadah itu agar Allah SWT  berkenan menyambut kita sebagai hamba yang diredhai-Nya. Itulah jalan lurus dan sekaligus nikmat tertinggi yang diberikan kepada para Nabi,  syuhada, dan solihin. 
“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (Al-Fatihah [1]: 6-7) 
 
Panduan Bersyukur 
Salah satu kenikmatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT  kepada hamba-Nya adalah rasa syukur. Nikmat inilah yang akan menggolongkan seseorang itu apakah termasuk manusia yang  kufur atau sebaliknya. Untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur kita harus memahami prinsip-prinsip berikut. 
1. Memahami Makna dan Hakikat Syukur
Ar-Raghib al-Asfahani dalam bukunya al-Mufradat fii Gharib al-Quran menyatakan syukur sebagai gambaran kenikmatan yang diterima oleh seseorang yang terpancar  dalam penampilannya. Dasar dari kata ‘syukur’ adalah ‘membuka’. Sementara ‘kufur’ pula bererti  ‘menutup’. Dalam kamus Dewan pula, bersyukur itu membawa maksud kepada berterima kasih. 
Hakikat syukur adalah untuk menzahirkan  nikmat Allah SWT  dengan menyebut-nyebut Allah Maha Pemberi nikmat secara lisan. Sedangkan  kufur adalah dengan  menyembunyikan nikmat-Nya. Maka, oleh demikian, syukur itu adalah bagaimana menampakkan nikmat sesuai dengan fungsi dan kegunaannya melalui petunjuk al-Qur`an dan al-Hadis.  Sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT, ”Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur).” (adh-Dhuha [93]: 11)
2. Menerima Syukur Sebagai Kewajiban
Allah SWT telah berfirman, ”Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku,” (al-Baqarah:152).
Sebahagian ulama menjelaskan bahawa ayat ini mengandungi perintah untuk mengingati Allah SWT  tanpa melupakan-Nya, patuh kepada-Nya tanpa menderhakai-Nya. `Hal ini menunjukkan bahawa makna bersyukur sebenarnya menghadirkan Allah SWT  di segenap nikmat-nikmat-Nya. Dengan mensyukuri nikmat-nikmat ini  maka secara automatiknya kita telah mengakui kebesaran dan kehadiran  Allah  dalam kehidupan ini. 
3. Meninggalkan Kufur Nikmat 
Qarun adalah simbol manusia yang mengingkari nikmat dan anugerah Allah SWT.  Bahkan, dia berani menegaskan bahawa apa yang dimilikinya itu adalah daya usaha dan kemampuannya. Dengan kata lain, ia telah kufur nikmat. 
Firman Allah SWT, ”Qarun berkata, ’Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.’ Dan apakah dia tidak mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu tentang dosa-dosa mereka,” (al-Qashshas [28]:78).
Untuk  mewujudkan syukur yang sempurna, kita harus memenuhi ruang lingkup berikut: . 
4. Bermula  dari Peribadi
Allah SWT telah berfirman, ”Dan barang siapa bersyukur, maka sesungguhnya dia mensyukuri dirinya sendiri dan barang siapa yang kufur maka sesungguhnya Tuhan-Ku Maha Kaya lagi Mulia,” (an-Naml [27]: 40). 
Rasulullah s.a.w juga turut bersabda, ”Allah senang melihat (bukti) nikmat-Nya dalam penampilan hamba-Nya,” (Riwayat Tarmizi).
Implementasikan rasa syukur itu dalam perbuatan dan tindakan sehari-hari. Makna inilah yang difahami oleh Rasulullah s.a.w ketika ‘Aisyah, isteri baginda  mendapati baginda  sentiasa melaksanakan solat  malam tanpa henti. Bahkan, seakan-akan memaksakan diri hingga kakinya bengkak-bengkak. 
Aisyah bertanya, tentang kesungguhan baginda menjalani ibadah tersebut, Rasulullah s.a.w  menjawab, “Tidakkah (pantas jika) aku menjadi hamba Allah yang bersyukur?” (Riwayat Bukhari).
Dalam hal ini, Ibnul Qayyim menyebut, terdapat  tiga dimensi yang harus ada dalam bersyukur.
Pertama, bersyukur dengan lisan
Bersyukur dengan lisan bermakna,  pengakuan terhadap nikmat Allah SWT  sambil memuji-Nya dengan ungkapan ‘alhamdulillah’. Ungkapan ini disampaikan secara lisan kepada Yang Dipuji, secara ikhlas dengan pengakuan yang mendalam, dan dengan penuh kekaguman. 
Jika mata dan hati kita secara sedar menyaksikan dan merasakan nikmat yang tak ternilai harganya ini, maka akan terurailah kata-kata itu sebagaimana firman Allah SWT, 
”Seandainya kamu (akan) menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan sanggup menghitungnya,” (Ibrahim [14]: 34).
Kedua, bersyukur dengan hati
Dimensi syukur ini dilakukan dengan menyedari sepenuhnya bahawa nikmat yang diperoleh semata-mata kerana anugerah dan kemurahan Allah SWT. Syukur dengan hati, membawa manusia untuk menerima anugerah dengan penuh kerelaan tanpa rasa berat.  Syukur ini juga memberikan kesedaran betapa besarnya kemurahan dan kasih sayang Allah sehingga terlontar dari lidahnya pujian kepada-Nya.  Syukur yang lahir dari hati dan fikiran seperti ini akan diekspresikan dalam bentuk sujud, iaitu sujud syukur. 
Ketiga, bersyukur dengan perbuatan 
Seluruh anggota badan manusia diciptakan Allah  sebagai nikmat. Implementasi dari rasa syukur ini adalah dengan menggunakan semua anggota tubuh tersebut untuk hal-hal yang positif saja. Solat  seseorang merupakan bukti rasa syukur kita pada Allah SWT. Begitu juga dengan puasa dan zakat seseorang itu. 
Hal ini disimpulkan oleh Muhammad bin Ka’ab Al-Quradhi bahawa syukur pada intinya adalah bertakwa kepada Allah SWT  dengan beribadah dan beramal soleh.
5. Lingkup Keluarga
Teladan Nabi Daud as dalam bersyukur tergambar dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Rasulullah s.a.w bersabda, “Solat  yang paling dicintai oleh Allah adalah solat  Nabi Daud; ia tidur setengah malam, kemudian bangun sepertiganya dan tidur seperenam malam. Puasa yang paling dicintai Allah juga adalah Puasa Daud; dia puasa sehari, kemudian ia berbuka di hari berikutnya, dan begitu seterusnya.”
Dalam hal mencari rezeki, keteladanan Nabi Daud juga diabadikan dalam beberapa Hadis yang menyebut tentang keutamaan bekerja. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah s.a.w  bersabda, “Tidaklah seseorang itu makan makanan lebih baik dari hasil kerja tangannya sendiri. Kerana sesungguhnya Nabi Daud sentiasa makan dari hasil kerja tangannya sendiri.” Nabi Daud bekerja tentunya bukan atas dasar tuntutan keperluan hidup, kerana dia sendiri seorang raja yang sudah cukup keperluannya. Namun, dia memilih sesuatu yang utama sebagai wujud rasa syukurnya yang tiada terhingga kepada Allah SWT.
6. Lingkup Negara 
Wujud syukur dalam lingkup ini adalah dengan menegakkan syariat Islam. Allah SWT berfirman, ”Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui,” (al-Jaatsiyah [45]: 18). 
Penerapan syariat Islam merupakan rasa syukur atas nikmat iman dan Islam, lebih-lebih lagi Negara-negara Islam yang sedang dilanda pelbagai jenis krisis kehidupan. 
Kewajiban menegakkan syariat Islam menjadi tuntutan sekaligus solusi atas pelbagai persoalan umat. Syariat Islam ini perlu dipikul oleh setiap mukallaf, pemimpin, dan orang yang memiliki tanggungjawab, baik pemimpin negara atau lainnya. 
Semua umat manusia diperintahkan untuk menegakkan keadilan, amar ma’ruf nahi munkar, dan menghukum sesuai dengan hukum Allah SWT. Rasulullah s.a.w  dan para sahabat telah melaksanakan tugas tersebut. Nabi Muhammad s.a.w, telah menegakkan syariat di seluruh aspek kehidupan, sejak berdirinya kota  Madinah Al-Munawarah, sehinggalah baginda wafat.