Alhamdulillah, dan Selawat buat Rasulullah, para Sahabat, Keluarga dan para pengikut Sunnah seluruhnya.
Perbincangan kita masih lagi tentang contoh-contoh para sahabat dan generasi terawal yang menjelaskan kewajipan berpegang dengan Sunnah.
 
Mu'awiyah bin Abu Sufyan RA dan Sunnah Nabi s.a.w
Sewaktu berada di atas mimbar, Mu'awiyah berkata, “Wahai bangsa Arab, apabila kamu tidak mahu melaksanakan ajaran-ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, maka bangsa lain akan lebih tidak mahu melaksanakannya.”( Al-Marwazi, al-Sunnah, 14) 
Beliau juga mengajarkan Sunnah Nabi (Al-Muntakhab min Sunan al-Kasyi, 49-a ). Beliau juga mengirimkan surat kepada Abdul Rahman bin Syibil agar mengajarkan perkara-perkara yang pernah beliau dengar daripada Nabi s.a.w (Al- Mutakhab min Sunan al-Kasyi, 39-a).
 
Mu'awiyah juga pernah mengubah pendiriannya tentang tentera yang dikirim ke Armenia setelah mendengar sebuah Hadis Nabi s.a.w. 
Ini berlaku apabila Jarir bin Abdullah r.a. yang berada di Armenia ketika itu memberitahu Mu'awiyah tentang kelaparan yang menimpa mereka. Jarir juga memberitahukan bahawa dia mendengar sabda Nabi s.a.w, “Sesiapa yang tidak menyayangi orang lain maka ia tidak disayangi oleh Allah”. Melalui utusannya Mu'awiyah menanyakan kepada Jarir, apakah ia mendengar hadis itu dari Rasullullah s.a.w? Jawab Jarir, “Ya”. Maka Mu'awiyah memerintahkan agar para tentera diberi bekalan yang cukup (Musnad Imam Ahmad. 4: 361).
 
Marwan Bin Al-Hakam Dan Sunnah Nabi s.a.w
1. Abu Hurairah r.a. pernah berkata kepada Marwan, “Kamu menghalalkan jual beli riba!” 
Marwan menjawab, “Tidak pernah saya lakukan”. 
 
Abu Hurairah menjelaskan, “Kamu menghalalkan menjual surat-surat berharga (Sukuk), padahal Rasulullah s.a.w melarang menjual makanan yang baru dibeli sebelum menerimanya terlebih dahulu”.
Lalu Marwan terus mengumumkan kepada para penjual melarang jual-beli tersebut. Sementara Sulaiman mengatakan, ia melihat para pengawal mengambil barang-barang itu dari para penjual.” (Sahih Muslim, Al-Buyu': 40)
 
2. Imam Malik mengatakan, ia diberitahu oleh Yahya bin Sa'id, dari Muhammad bin Yahya bin Hibban, tentang seorang hamba yang mencuri anak pokok (benih kurma) dari kebun orang lain, lalu ditanamnya di kebun tuannya. 
Pemilik kurma lalu keluar mencari pokoknya dan menemuinya di kebun tersebut Lalu dilaporkan kepada Marwan bin al-Hakam (Gabenor Madinah yang dilantik oleh Mu’awiyah pada waktu itu) yang terus menangkap hamba tersebut untuk dijatuhkan hukuman potong tangan. 
Maka tuan kepada hamba tersebut menanyakan masalah kecurian itu kepada Rafi' bin Khadij (seorang sahabat Nabi saw). Rafi' menjawab bahawa ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak dipotong tangan orang yang mencuri buah-buahan (yang masih dikebun bukan dalam stor tempat simpanan) dan umbut pokok kurma”.
Tuan itu berkata lagi kepada Rafi’, “Tetapi Marwan menangkap hambaku untuk dipotong tangannya. Bolehkah kalau kamu pergi bersamaku menghadap Marwan dan menceritakan Hadis yang pernah kamu dengar itu kepadanya?” 
Lalu keduanya pergi menghadap Marwan. Rafi' bertanya tentang penahanan tersebut kepadanya, “Adakah kamu menangkap hamba milik orang ini?” “Ya”, jawab Marwan. “Apakah yang kamu ingin lakukan kepadanya?” tanya Rafi' lagi. “Saya akan potong tangannya”, jawab Marwan. 
Kemudian Rafi' memberitahukan bahawa dia pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda, “Tidak dipotong tangan orang yang mencuri buah-buahan atau umbut pohon kurma”. Akhirnya Marwan menerima hujjah tersebut dan melepaskan hamba itu. (Al-Syaibani, Al-Muatta’: 237)   
 
Abdullah bin 'Abbas r.a. Dan Sunnah Nabi 
Ibnu 'Abbas pernah menarik kembali fatwanya tentang masalah “riba al-fadhl” setelah mengetahui terdapat hadis Nabi yang melarang dalam masalah itu. 
Abu Mijlaz berkata, “Ibnu 'Abbas membolehkan “Sarf” (riba al-fadhl; tukar barang ribawi yang tidak sama timbangan) asalakan terus bertukar tangan, sehinggalah beliau bertemu dengan Abu Said al-Khudri, yang bertanya kepadanya, “Sehingga bilakah kamu mahu membenarkan riba al-fadhl? Apakah kamu tidak takut kepada Allah? Apakah kamu tidak mendengar Rasulullah s.a.w melarang perbuatan tersebut?” 
Ibnu Abbas lalu menjawab, “Terima kasih Abu Said, semoga Allah membalas kebaikan kamu. Kamu telah mengingatkan perkara-perkara yang saya lupa. Aku beristighfar dan memohon ampun dari Allah.” Maka selepas daripada itu, Ibnu Abbas melarang perbuatan riba fadhlu.( Al-Marwazi, as-Sunnah: 51) 
 
Abdullah bin Umar RA dan Sunnah Nabi s.a.w
Dari Amr, Sufyan mengatakan bahawa Ibnu Umar berkata, “Kami melakukan mukhabarah, (Pajak tanah untuk ditanam, benih dibekalkan oleh pengusaha dan hasil yang diperolehi akan dikongsikan) kerana kami merasakan perbuatan tersebut dibolehkan. Ketika Rafi’ r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w melarang perkara tersebut, maka kami terus meninggalkannya”.( Ar-Risalah: 445)
 
Qadhi Syuraih dan Sunnah Nabi s.a.w 
Al-Sya'bi berkata, “Saya pernah melihat Syuraih didatangi dan ditanya oleh seseorang daripada kabilah Murad, 
“Apakah diyat, ganti rugi untuk jari-jari, wahai Abu Umayah?” 
Jawab Syuraih, “Sepuluh, sepuluh!” (Yakni setiap batang sama dengan sepuluh ekor unta.)
“Apakah dua jari ini, iaitu ibu jari dan kelingking juga termasuk?” Tanya orang tersebut kerana hairan. 
Syuraih menjawab, “Subhanallah, apakah sama telinga dan tanganmu? Telinga tertutup oleh rambut, diyatnya hanya separuh. Manakala tangan diyatnya juga separuh. 
Celaka kamu kalau begitu, sunnah Nabi itu sudah terlebih dahulu sebelum apa yang kamu fikirkan. Maka ikutlah sunnah dan janganlah melakukan perkara bid'ah. Kamu tidak akan sesat selagi kamu mengikut sunnah Nabi s.a.w.”
Sunnah Nabi dan 'Urwah bin al-Zubair 
'Urwah (wafat: 93 Hijrah) mengatakan, “Berpeganglah kepada Sunnah, kerana Sunnah adalah sendi agama.”( Al-Marwazi, al-sunnah.29)
 
Kemudian diantara para Tabiin, Khalifah Umar bin Abd Aziz juga pernah mengedarkan pekeliling kepada rakyatnya agar tidak mendahulukan pendapat orang lain apabila sudah ada Sunnah Nabi s.a.w. (Al-Marwazi, al-sunnah26)
 
KESIMPULAN:
Oleh kerana dalam setiap masyarakat pasti akan ada mereka yang cetek pemikirannya, iaitu mereka yang tidak mengetahui hakikat sebenar sesuatu permasalahan, lalu cenderung berfikir menggunakan logik kepada yang tidak sepatutnya. Bahkan kadang-kadang sehingga ke tahap mereka akan menganggap tidak perlu lagi untuk menggunakan hadis, tetapi cukup sekadar Al- Quran sahaja tanpa penjelasan daripada Hadis. Sedangkan Al-Quran sendiri telah menegaskan perlunya menggunakan Hadis untuk memahami Al-Quran.
 
Rasulullah s.a.w juga sudah mengingatkan bahawa akan muncul golongan-golongan tersebut dalam sabdanya,
“Ingatlah! Al-Quran dan Hadis telah diturunkan kepadaku. Waspadalah! Kelak akan muncul orang yang perutnya kenyang dan ia akan menjadi malas. Dan ia akan hampir kepada mengatakan, cukup hanya sekadar merujuk kepada Al-Quran sahaja. Yang mana apabila di situ ada keterangan yang mengharamkan maka haramkanlah….” (Sunan Abu Daud, hadis no.4604. Musnad Ahmad, iv :131. Ibnu majah, muqaddimah 2) 
 
Hadis seperti ini juga yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah,( Musnad Al-Imam ahmad,ii:367.sunan inbu majah,muqaddimah,2) Abu Rafi (Sunan Abu daud, hadis no4605,Musnad Imam Ahmad v8,Sunan  Ibnu Majah, Muqaddimah 2.), al-‘Irbadh bin Sariyah (Sunan Abu Daud, Hadis No.3050), Jabir bin Abdullah (Al-Kifayah: 10-11), dan Abdullah bin Abbas (Al-Kifayah: 11). 
Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. juga pernah menyebut tentang  masalah ini dalam khutbahnya, dengan berkata, “Ingatlah! Nanti akan ada orang yang mengatakan untuk apakah tujuan hukuman rejam, kerana al-Quran hanya menerangkan hukum sebat. Ingatlah bahawa Rasulullah pernah melaksanakan hukuman rejam dan setelah Baginda wafat, kami juga terus melaksanakannya.”( Musnad Imam Ahmad, hadis no.196 dan 156 (Tahqiq: Sheikh Ahmad Syakir)
 
Selain contoh-contoh di atas, ayat-ayat al-Quran sendiri juga menekankan wajibnya mengikut Sunnah Nabi s.a.w, eperti yang telah dibincangkan tadi. 
Walaupun pada abad pertama Hijrah telah berlaku perpecahan di kalangan ummat Islam, di mana golongan Khawarij dan Syiah memisahkan diri dari Ahlu Sunnah wal-Jama’ah, namun tidak terdapat di kalangan mereka golongan yang mengingkari Sunnah. Pada hakikatnya, walaupun mereka berbeza pandangan mengenai penerimaan dan penetapan Sunnah, tetapi pasa asasnya mereka tetap tidak mengingkari Sunnah sebagai salah satu sumber dalam Syariat Islam.
[Sumber: Prof. Dr. M. M. Azami, Riyad University (t.t). Dirasat fi al-Hadis an-Nabawi 12-20]
 Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang baik untuk kita agar dapat menerima dan beramal dengan Sunnah Nabi s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Wallahu a’lam.