Kita wajib berpegang kepada Al-Quran dan as-Sunnah sebagai dua sumber perundangan dan rujukan umat Islam. Tetapi adakah semua orang faham dan jelas apakah yang dimaksudkan dengan SUNNAH? Apakah pula hadis Nabi s.a.w? Adakah makna HADIS dan SUNNAH itu berbeza? Yang mana satukah harus dijadikan panduan dan ikutan? 
 
Kali ni sama-sama kita kupas dan cari maksudnya secara ringkas agar mudah difahami semua. Hadis dan Sunnah berasal daripada sumber yang sama iaitu Rasulullah s.a.w. Yang berbeza adalah penggunaan istilah di kalangan ulama' yang berlainan bidang. Kita boleh lihat perbezaan dan persamaannya melalui takrif berikut: 
 
A- AS-SUNNAH
1) Sunnah menurut bahasa ialah: metode (thoriqoh), kebiasaan,  perjalanan hidup atau perilaku baik, jalan (sabiil) yang dilalui sama ada terpuji atau tidak, jalan yang baik atau buruk; juga suatu adat yang telah dibiasakan walaupun tidak baik.
Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya: "Sungguh kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka memasuki lubang dhab (serupa binatang biawak) nescaya kamu memasukinya juga." [Riwayat Al-Bukhari].
Rasulullah s.a.w juga telah bersabda:
“Sesiapa yang memulai sunnah yang baik dalam Islam, maka baginya pahala dan pahala orang-orang yang mengikuti amal itu setelahnya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan sesiapa yang memulai sunnah yang tidak baik, maka dia menanggung dosanya dan dosa orang-orang yang mengikuti setelahnya, tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.” [Riwayat Muslim].
 
2) As-Sunnah menurut istilah Syara’ ialah segala sesuatu yang bersumber dari Nabi s.a.w dalam bentuk qaul (ucapan), fi’il (perbuatan), taqrir (penetapan), sifat fizikal Baginda serta akhlak dan tingkah lakunya. 
 
3) As-Sunnah menurut istilah ulama usul fiqh ialah segala sesuatu yang bersumber dari Nabi s.a.w selain dari Al-Qur’an, baik perbuatan, perkataan, taqrir (penetapan) yang baik untuk menjadi dalil bagi hukum Syarak. Ulama usul fiqh membahas dari segala yang diSyari’atkan kepada manusia sebagai undang-undang kehidupan dan meletakkan kaedah-kaedah bagi perundangan tersebut.
 
Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabdanya s.a.w ini:
"Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara tidak akan kamu sesat selama kamu berpegang dengan keduanya: iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya". [Riwayat Imam Malik].
 
4) As-Sunnah menurut istilah ahli fiqh (fuqaha) ialah segala sesuatu yang sudah tetap dari Nabi s.a.w dan hukumnya tidak fardhu dan tidak wajib, yakni hukumnya sunat atau mustahab.
 
5) As-Sunnah menurut ulama Salaf adalah petunjuk yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya, baik tentang ilmu, i’tiqad (keyakinan), perkataan mahupun perbuatannya.
 
6) Sunnah menurut istilah ahli hadis: Adalah sama dengan istilah yang digunakan bagi Hadis.
 
B-Manakala takrif Hadis pula:
1) Hadis menurut bahasa ialah; 
i: Yang baharu. 
ii: Perkhabaran. 
iii: Yang dekat atau yang belum lama.
 
2) Menurut istilah ahli hadis: ialah segala ucapan Nabi, segala perbuatan dan segala keadaannya. 
Termasuk dalam pengertian ini ialah keadaannya, segala yang diriwayatkan dalam buku sejarah atau sirah seperti hal keputeraannya, tempatnya dan segala yang bertalian dengannya. Pengertian ini samalah dengan pengertian sunnah menurut istilah mereka. 
 
Tetapi pengertian ini berlainan dengan pengertian ahli usul fiqh. Sebab berlainan ini ialah kerana berlainan jurusan yang mereka lihat dan mereka tinjau.
 
3) Ulama' usul membahaskan Rasul sebagai seorang pengatur undang-undang yang meletakkan atau menciptakan dasar-dasar ijtihad bagi para mujtahid sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia perlembagaan hidup (dustur al-hayat) maka mereka pun memperhatikan segala tutur kata Rasul, perbuatan-perbuatannya dan taqrirnya, iaitu pengakuan-pengakuannya bersangkutan dengan perkara penetapan hukum.
 
4) Sementara itu ulama' fiqh berpendapat, bahawa suatu yang diterima dari Nabi s.a.w dengan tidak difardukan dan tidak diwajibkan dinamakan sunnah. Imbangannya ialah wajib, haram, makruh dan mubah. Lawannya ialah bid'ah, seperti; talak yang dijatuhkan dalam haid menurut mereka dinamakan: talak bid'ah.
Supaya lebih mudah pembaca memahaminya, di sini diberikan beberapa contoh jenis-jenis sunnah;
 
Sunnah itu secara umumnya terbahagi kepada tiga iaitu: 
Perkataan (qauliyyah), perbuatan (fi'iliyyah), perakuan (taqririyyah).
1. Contoh sunnah (hadis) perkataan (qauliyyah) ialah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Segala amal itu dengan niat." [Riwayat Bukhari dan Muslim]
 
2. Contoh sunnah (hadis) perbuatan (fi'iliyyah) ialah:
Rasulullah s.a.w bersolat kemudian Baginda bersabda, maksudnya: "Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat." [Riwayat Bukhari dan Muslim].
 
3. Contoh hadis (sunnah) perakuan (taqririyyah). 
 
Taqrir ialah:
(a) Nabi s.a.w membenarkan apa yang diperbuat oleh seorang sahabat dengan tidak mencegah atau menyalahkan serta menunjukkan keredhaannya;
Contohnya ialah sebagaimana Nabi s.a.w membenarkan ijtihad para sahabat mengenai urusan sembahyang 'Asar di Bani Quraizah dengan sabdanya:
Bermaksud: "Jangan bersolat Asar seorang kamu melainkan di Bani Quraizah." [Riwayat Bukhari].
Sebahagian sahabat memahami perkataan itu menurut hakikat larangannya lalu menta'khir (melewat)kan solat 'Asar. Manakala ada sebahagian yang lain tidak memahami sedemikian, mereka memahami bahawa yang dimaksudkan Nabi bercepat-cepat pergi ke Bani Quraizah. Kerana itu mereka mengerjakan solat 'Asar pada waktunya, sebelum tiba ke Bani Quraizah.
Kedua-dua perbuatan sahabat yang berlainan oleh berlainan ijtihad sampai kepada Nabi s.a.w beritanya, dan Nabi s.a.w hanya berdiam diri tidak membantah apa-apa.
 
(b) Menerangkan kebaikan yang diperbuat itu serta dikuatkan pula.
Contohnya sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Khalid bin al-Walid pernah memakan dhab (sejenis haiwan seperti biawak) kemudian dikemukakan orang kepada Nabi s.a.w. Baginda s.a.w sendiri enggan memakannya, maka sebahagian sahabat bertanya:
"Adakah diharamkan memakannya wahai Rasulullah?" Lalu Baginda bersabda: "Tidak! Cuma binatang itu tidak ada di negeri kaumku, kerana itu aku tidak gemar kepadanya." [Riwayat Bukhari]
Ulama' Syafi'e mengatakan bahawa sunnah itu ialah suatu yang diberi pahala orang yang mengerjakannya, tidak berdosa orang yang meninggalkannya.
Menurut ulama' mazhab Hanafi, sunnah itu ialah suatu yang disunnahkan Nabi s.a.w atau para khalifah serta dikekalkan mengerjakannya, seperti azan dan berjama'ah.
 
Penutup:
Apapun pengertiannya yang mahu digunakan, sebagai umatnya yang mengaku cintakan Rasulullah s.a.w, wajarlah ke atas kita untuk mencontohi, mengikuti dan berjalan di atas manhaj Baginda s.a.w serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan Baginda s.a.w. Tanda orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w adalah orang yang mengikuti Rasulullah s.a.w secara zahir dan batin dan cuba sedaya upaya sentiasa menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Semoga kita tergolong dalam kumpulan ini.