Firman Allah Taala yang bermaksud:

 

“dan mereka pula bersumpah Dengan nama Allah, Dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, Bahawa Sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana Yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadaNya. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah Yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (Wahai orang-orang Islam), Bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.” (Q.S. Al-An'am 109)

 

Sebab penurunan ayat:

 

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Muhammad bin Ka'ab Al-Qurazhi yang telah mengatakan bahawa, Rasulullah s.a.w pernah berbicara dengan orang-orang Quraisy di Mekah, kemudian orang-orang Quraisy tersebut berkata, 'Wahai Muhammad! Engkau telah menceritakan kepada kami, bahawa Musa itu memiliki tongkat yang dapat menghancurkan batu jika dipukul ke atasnya, dan Isa dapat menghidupkan kembali orang yang telah mati, serta kaum Tsamud (kaum Nabi Soleh) pula mempunyai unta sebagai ujian ke atas mereka, maka datangkanlah kepada kami ayat-ayat (mukjizat-mukjizat) sehingga kami dapat mempercayaimu?" Lalu Rasulullah SAW menjawab, "Mukjizat apakah yang kamu inginkan?" Mereka menjawab, "Engkau tukarkanlah Bukit Safa itu supaya menjadi emas." Rasulullah s.a.w berkata, "Jika aku dapat buktikannya, adakah kamu akan percaya kepadaku." Mereka menjawab, "Ya, demi Allah jika kamu memenuhi permintaan ini maka kami akan mengikutimu." Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri dan berdoa. Lalu datanglah malaikat Jibril dan berkata, "Jika engkau menghendakinya pasti gunung Safa itu menjadi emas. Akan tetapi jika sekiranya mereka masih lagi tidak beriman, pasti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka. Dan jika engkau menghendaki kebaikan maka biarkanlah mereka sehingga Allah mengampuni mereka." Setelah itu turunlah ayat ini. (Al-Wahidi, Asbab Nuzul Quran; 206)

 

Intisari penting:

 

Orang-orang Musyrik bersumpah bahawa, jika sekiranya Allah datangkan mukjizat melalui nabi yang diutuskan kepada mereka, maka mereka akan beriman kepada Allah. Oleh kerana itulah Nabi Muhammad s.a.w berdoa kepada Allah agar diperlihatkan kebenaran dan mukjizat kepada mereka supaya mereka beriman sebagaimana yang telah mereka bersumpah. Tetapi Jibril datang menemui baginda dan menerangkan tentang seksaan Allah kepada orang Musyrik jika sekiranya mereka masih tidak mahu beriman walaupun setelah didatangkan apa yang mereka mahukan. Inilah sifat orang yang berpaling daripada kebenaran, walaupun telah bersumpah dengan nama Allah sekalipun, belum tentu mereka akan mengotakan janjinya. Sedangkan sesiapa sahaja yang menemui kebenaran serta melakukan amal kebajikan maka merekalah orang yang mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah Taala.

 

Nasihat dan pengajaran:

 

Sebagai seorang pendakwah, kita perlulah mempunyai jiwa yang besar dalam menyampaikan risalah Islam. Sudah pasti akan ada cabaran, dugaan, kekangan dan ujian yang terpaksa diharungi. Medan dakwah tidak dihamparkan permaidani merah sebagai laluan mudah dalam menegakkan kebenaran yang dibawa. Akan tetapi pentas ini penuh dengan liku serta ranjau yang hebat lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan mereka yang memusuhi Islam. Barulah kita sedari bahawa bukan mudah Islam yang dibawa oleh junjungan besar nabi kita Muhammad s.a.w sehingga sampai kepada kita saat ini. Sepatutnya kita sebagai seorang Islam, bahkan lahir daripada keluarga Islam, perlu mensyukuri nikmat yang dikurniakan. Janganlah hanya pada nama sahaja Islam sebagai syarat beragama, akan tetapi kehidupan yang kita lalui sehari-hari membawa kepada kemurkaan Allah Taala disebabkan kemaksiatan yang kita lakukan. Ayuh kita berubah menjadi muslim yang bukan hanya beriman kepada Allah, tetapi mempunyai ketaqwaan yang tinggi kepada-Nya.

 

Syamaail Muhammad:

 

Cara berjalan Rasulullah s.a.w: Dari Abu Hurairah r.a, dia berkata bahawa, “Tidak pernah aku melihat perkara yang lebih indah daripada Rasulullah s.a.w seolah-olah mentari beredar di wajahnya. Juga tidak ada seorangpun yang aku lihat lebih cepat gerak langkahnya daripada Rasulullah s.a.w seolah-olah bumi ini dilipat-lipat untuknya. Sesungguhnya kami perlu bersusah payah untuk melakukan perkara sedemikian sedangkan tidak pula sukar bagi Rasulullah s.a.w.” Ibrahim bin Muhammad menceritakan bahawa apabila Ali bin Abi Thalib menerangkan sifat Nabi s.a.w, dia akan berkata, apabila baginda berjalan, kepalanya akan merunduk seolah-olah jalanan menurun. (Abu Isa Al-Tirmizi, Syamaail Muhammadiah, 1413H/1993M, hlm 55)